Thursday, 9 July 2009

Muhasabah; Kisah Anak Harimau di Kampung Kambing

Setelah banyak rungutan yang mengatakan pengisian dan artikel dalam blog ini agak 'berat', maka saya selitkan satu artikel yang lebih 'ringan' tetapi bermanfaat untuk tatapan semua pembaca. Hayatilah 'istirahah' ini..
.....................................................................................

Di sebuah kampung yang dihuni kambing-kambing, terdapat seekor anak harimau yang terpisah dari ibunya sejak kecil. Di alam kambing, anak harimau itu langsung tidak mengetahui susur galur salasilah dirinya. Anak harimau yang bernama Caliph itu hidup dengan harmoni bersama-sama kambing yang lain. Sebagaimana kambing-kambing di kampung tersebut, Caliph memakan rumput, menyusu dengan ibu kambing dan mengembek. Tidak pernah sekalipun didengari auman Caliph seolah-olah ia bisu mengaum.

Adapun kambing-kambing yang lain tidak pernah menceritakan kepada Caliph bahawa ia bukanlah dari komuniti mereka. Disebabkan takut Caliph mengetahui kekuatan yang dimilikinya sebagai seekor harimau, kambing-kambing tersebut terus bermesra dengan Caliph dan tidak memberi peluang kepada Caliph untuk bertemu dengan spesies harimau yang sebenar.

Sehinggalah pada suatu hari, Caliph menyertai kumpulan kambing ke satu kolam untuk meminum air. Sewaktu sedang meminum air, tiba-tiba Caliph terperasan bahawa terdapat perbezaan yang jelas antara dirinya dengan kambing yang lain. Apabila diamati dengan lebih teliti, Caliph mendapati ia memiliki kuku yang tajam, taring, bertubuh sasa dan berwajah garang. Sungguh paradoks antara dirinya dengan kambing-kambing yang lain.

Menyedari hakikat itu, Caliph berasa sungguh sedih dan menganggap dirinya cacat. Caliph menganggap perbezaan yang dimilikinya sebagai kekurangan dan satu keadaan yang sungguh memalukan, bukannya satu kelebihan dan kekuatan yang mesti dibanggakan. Lalu Caliph berusaha untuk menjadi kambing sejati dengan terus meniru gaya hidup kambing-kambing yang lain.

Tetapi lama kelamaan, tahulah Caliph bahawa ia bukannya berasal dari komuniti kambing. Caliph bertambah sedar bahawa tubuhnya yang sasa, kukunya yang tajam, taring dan wajahnya yang garang merupakan senjata dan aset yang sungguh bernilai. Namun, alangkah malangnya apabila Caliph tidak tahu bagaimana menggunakan senjata tersebut.

*Kisah di atas saya petik dan edit daripada satu ucapan Ahmad Azam Abdul Rahman (mantan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ) sewaktu dalam satu muktamar tahunan ABIM pada 1999 iaitu kira-kira 10 tahun.
...................................................................................................................................................................

Tokoh pemikir terkenal dalam bidang ketamadunan, Ibnu Khaldun pernah menyebut;

“ Bangsa yang lemah akan sentiasa meniru bangsa yang kuat dalam pelbagai segi.”

Kitalah Caliph, anak harimau dalam kisah di atas. Setelah bangunan khilafah dimusnahkan oleh puak Kuffar pada 1924, kita seakan-akan tidak mengetahui kemuliaan dan asal-usul kita. Kita berasa sungguh malu untuk bangkit dengan peraturan dan prinsip yang telah ditentukan oleh agama kita. Sebaliknya, kita beriya-iya mahu meniru idea global dan pembangunan yang dilancarkan oleh pihak Barat. Kita ditipu dan terus tertipu.

Kita berasa kecewa apabila kita gagal menggapai kemajuan sebagaimana Barat. Kita sedih apabila menyedari kita tidak akan menjadi seperti Barat. Lalu kita cuba meniru Barat dari pelbagai segi dan bergaya hidupkan seperti diajar oleh Barat.

Akhirnya, kita menyedari bahawa kita tidak akan maju sekiranya kita hanya meniru Barat, sebaliknya kita akan dihina oleh Allah disebabkan fi’il kita yang menggantikan petunjuk dengan kesesatan yang dipromosikan oleh Barat. Allah telah memberitahu kepada kita bahawa kita mempunyai kekuatan dan senjata yang cukup ampuh di samping menyatakan bahawa puak dan juak dari kuffar cukup lemah, kekuatan mereka hanyalah seperti sarang labah-labah. Kita menganggukkan kepala sebagai tanda faham. Tetapi malangnya, kita tidak tahu bagaimana cara menggunakan kekuatan dan senjata yang kita miliki.

Akibatnya, kita sering bermusuh-musuhan. Ya, kita akui yang mereka (kuffar) jahat kerana telah memfaraidkan bumi islam kepada boneka-boneka mereka. Tapi, takkan kita terlalu lemah? Di mana kekuatan kita? Siapa boleh memberikan saya jawapan?

Ibnu Khaldun telah memberikan jawapan;

“Apabila cukup ramuan untuk sesuatu bangsa itu bangun, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya.”


Salam hormat daripada saya...

Pemikir Muda, MarBu,
pasca waktu huha

Read more...

Wednesday, 8 July 2009

KO-SPIN 09 Penerus Agenda Suci Para Intelektual Islam

*Artikel ini ditulis untuk menjernihkan kefahaman buat sesiapa yang masih belum memahami akan kepentingan Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam (KO-SPIN) yang akan dianjurkan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS). Sekadar
sentuhan ringkas.*

..............................................................................

Apabila membicarakan satu ribu satu masalah yang menimpa umat manusia pada hari ini, pelbagai pihak berminat untuk berpartisipasi sambil membawa hujah masing-masing. Ada yang berhujah menerusi seminar, simposium, forum dan tidak kurang juga yang menampilkan hujah mereka dengan berpolemik secara ilmiah. Pelbagai alasan dan sandaran yang dikemukakan oleh mereka dan seringkali berpihak kepada latar belakang sosial dan aspirasi perjuangan masing-masing. Para politikus akan menyalahkan lawannya manakala pemuka yang mewakili sesuatu kaum dan golongan pula akan menyalahkan kumpulan yang lain.

Dalam penulisan pada kali ini, saya ingin mengajak pembaca sekalian untuk melihat bagaimanakah sarjana-sarjana Islam sejak dahulu sehingga sekarang bertindak untuk mengatasi kekeruhan kolam kehidupan ini.

Dr. Majid Irsan Kaylani pernah menceritakan bahawa pernah terjadi satu krisis sosial dan politik yang cukup parah pada satu ketika. Menurut beliau, para sejarahwan mencatatkan bahawa sekitar akhir alaf pertama sehingga awal alaf kedua, pelbagai masalah telah timbul seperti fanatisme mazhab yang serius, kemiskinan, pemerintahan yang korup dan kesesatan ahli sufi. Akibatnya, sistem kehidupan di Sudan, Mesir dan beberapa negara Arab pada waktu itu cukup tempang dan merunsingkan.

Era al Ghazali


Beliau seterusnya menceritakan bahawa seorang alim dan pemikir Islam yang masyhur pada waktu itu iaitu Imam al Ghazali telah menganalisis, mendiagnosis dan seterusnya bertindak selaku reformis untuk menyelesaikan masalah tersebut. Didapati, beliau kembali kepada akar krisis dan berpendapat bahawa falsafah dan sistem pendidikan pada waktu itu mestilah dipugar. ‘Gusti pendidikan’ telah dirancakkan oleh beliau menerusi penulisan-penulisan yang dihasilkan seperti Tahafut al Falasifah (mengkritik ahli-ahli falsafah yang dipengaruhi unsur dari Yunani) dan Tibru Masbuq fi nasihatil muluk (kitab yang ditulis untuk menasihati pemerintah pada zamannya). Selain itu, beliau juga telah menubuhkan madrasah beliau sendiri sebagai mengimplementasikan falsafah dan pandangan beliau berkenaan sistem pendidikan.

Adapun Imam Abdul Qadir al jailani, zaman dan tempat beliau juga menghadapi krisis yang hampir serupa dengan apa yang dilalui Hujjatul Islam Imam al Ghazali. Lantas beliau menghadapinya dengan memberi perhatian kepada pemugaran sistem pendidikan. Sebagaimana al Ghazali, beliau juga telah mengkaderkan sebanyak mungkin anak murid untuk meneruskan siri reformasi demi melakukan transformasi metamorfosis dalam masyarakat pada waktu itu. Kemudian, muncul banyak ulama yang meneruskan misi besar kedua-dua Imam tersebut dan penubuhan madrasah yang menjunjung sistem pendidikan Islam pula berlaku seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Abad ke-20

Syeikh Muhammad Abduh yang telah disuntik pemikirannya oleh Jamaluddin al Afghani juga telah meneruskan aspirasi yang telah diperjuangkan para cerdik pandai dahulu kala. Sewaktu beliau bergiat aktif sebagai ‘khadam umat’, beliau telah mengkritik keras sistem pendidikan di Universiti al Azhar yang mana menurutnya telah memiskinkan daya pemikiran kreatif dan kritis pelajar. Konfrontasi hujah antara beliau dan ulama al Azhar sentiasa berlaku apabila membicarakan soal tersebut. Malahan, beliau sendiri telah menawarkan diri untuk membantu mengubah beberapa sistem yang diyakininya pincang di universiti terkenal tersebut.

Sementara itu, Badiuzzaman Said Nursi yang merupakan tokoh terkenal dari Turki juga tidak ketinggalan dalam membicarakan soal ini. Sebagai memanifestasikan agenda besarnya, beliau pernah menulis surat kepada pihak pemerintah pada zamannya untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan yang dinamakan Madrasah az Zahra’. Walaupun impiannya itu tidak menjadi realiti sewaktu beliau hidup, namun usaha penubuhan madrasah itu diteruskan oleh generasi selepasnya. Meskipun gagal menubuhkan Madrasah az Zahra’, tetapi ideanya tetap direalisasikan apabila sebuah universiti telah mengimplementasikan cita-citanya menerusi satu fakulti khas.

Tidak terkecuali di alam Melayu apabila beberapa tokoh kaum muda seperti Syed Syeikh al Hadi yang telah memandang serius isu pendidikan ini. Syed Syeikh al Hadi telah terpengaruh dengan idea-idea daripada Syeikh Muhammad Abduh dan mengembangkannya di alam Melayu. Beliau mengkritik sistem pondok yang berleluasa pada zaman tersebut dan beliau sendiri telah menubuhkan institusi pendidikannya sendiri yang dikenali sebagai Madrasah al Masyhoor.

Mutakhir ini, antara cendikiawan yang mahu perubahan secara besar-besaran terhadap sistem pendidikan Islam ialah Ismail Raji faruqi, Fazlur Rahman dan Seyyed Hossein Nasr. Manakala cendikiawan dari Malaysia pula ialah seperti Prof Dr Syed Naqib al Attas, Prof Wan Mohd Nor, Dr. Sidek Baba dan banyak lagi. Malah, pelbagai gesaan supaya merejuvenasi sistem yang telah tua dan nyanyuk ini dilakukan secara besar-besaran dari seluruh cerdik pandai, mahasiswa dan pelbagai lapisan sosial yang memahami kepentingan pendidikan sebagai akar kehidupan.

Abad ke-21


Terbaru ialah usaha daripada Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) yang telah menganjurkan Kongres Rejuvenasi Sistem Pendidikan Negara (KO-SPIN 09). Saya memuji usaha NGO terbesar mahasiswa Islam ini. Semoga usaha kalian dirahmati Allah dan bakal memberikan impak yang maksimum dalam usaha kita menyebarkan rahmat Allah ke sekalian alam, insyaAllah. Sebagaimana rejuvenasi ala Imam al Ghazali yang telah melahirkan nuruddin Mahmud Zanki dan Salahuddin al Ayyubi, harapnya suara ronta dari naluri suci ini akan diambil perharian oleh pemerintah dan seterusnya melahirkan benih-benih pembebas umat Islam dari hegemoni kuffar!

Read more...

Monday, 6 July 2009

Berpencak di Gelanggang Intelektualisme

“Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan mau’izah (pengajaran) yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang terbaik....” (an Nahlu : 125)

Apabila kita membelek dan mendalami setiap peristiwa yang terdapat dalam al Quran, kita pasti akan mengerti bahawa mujadalah ataupun perdebatan menjadi sunnah setiap nabi. Mereka berdebat dan berbahas secara intelek dan berpandukan wahyu meskipun kebanyakan hujah yang dikemukakan oleh kaum mereka lebih menurut hawa nafsu, emosional dan tiada nilai ilmu. Begitu juga apa yang telah dihadapi oleh nabi Muhammad saw tatkala berhadapan dengan kaumnya. Baginda saw dan para sahabat bijak menjawab dan mematikan hujah-hujah yang telah dikemukakan oleh kaum musyrikin dan kuffar.

Selanjutnya, mari kita melihat pula kepada sejarah dan sunnah umat Islam yang terdahulu. Kewujudan puak muktazilah yang menyanjung tinggi akal mereka mengatasi wahyu telah mengakibatkan salah faham dalam beragama yang serius pada satu ketika. Wasil bin Atha yang telah keluar dari halaqah Hasan al Basri merupakan pengasas kepada aliran ini. Lalu, para ulama pada waktu itu berhempas pulas mempersiapkan diri mereka untuk berpencak dengan para pendokong dan penyokong pemikiran liberalisme pada zaman tersebut. Para alim ulama seperti Hasan al Basri, Abu Hasan Asyaari, Ahmad bin Hanbal dan banyak lagi telah terlibat secara langsung dalam dialog dan wacana ilmiah yang diatur pada waktu itu.

Terdapat juga para alim ulama yang bermujadalah menerusi penulisan-penulisan mereka. Sebagai contoh polemik yang tercatat dalam sejarah ialah karya Imam al Ghazali iaitu ‘Tahafut al Falasifah’ yang membuat kritikan terhadap ahli-ahli falsafah yang terpengaruh dengan pemikiran ahli falsafah dari Yunani secara berleluasa pada zamannya. Kitab beliau tersebut telah dikritik oleh Ibnu Rusyd yang juga merupakan salah seorang ahli falsafah muslim yang terkenal, beliau menulis sebuah kitab yang bertajuk ‘Tahafut at Tahafut’.

Neo-muktazilah

Beberapa contoh di atas merupakan hujah konkrit bahawa amalan berpencak di gelanggang intelektualisme dijadikan sebagai salah satu wasilah dalam usaha menyebarkan dan mempertahankan agama. Jika pedang yang digunakan musuh, maka lawannya ialah pedang juga, manakala jika lisan dan tulisan yang digunakan, maka lisan dan tulisan hendaklah diutamakan pembalasannya.

Sejak akhir-akhir ini, kedapatan banyak yang bising dengan kebiadapan aktivis-aktivis yang kononnya menuntut keadilan gender. Gerakan feminisme ini telah menggelarkan organisasi mereka sebagai Sister In Islam (SIS). Mereka telah menyalak sejak 90-an lagi dan atas prinsip ‘istikamah’, maka mereka masih belum berhenti daripada menuntut equality supaya dapat keluar daripada halaman Islam. SIS merupakan duta pemikiran Islam liberal yang diperkuatkan keanggotaannya menerusi anak-anak orang besar di negara malaysia.

Di negara Indonesia, kewujudan suku sakat SIS lebih berani dan teratur. Sebagai contoh gerakan sekularis liberalis yang bernama Jaringan Islam Liberal (JIL) telah berjaya mempengaruhi sebilangan besar umat Islam di sana. Isu-isu yang dikemukakan mereka secara serius seperti pluralisme, al Quran edisi kritis (QEK), hermeneutika dan feminisme telah berjaya menggongcangkan akidah umat Islam di luar sana. Antara pemuka JIL ialah Nurcholis Majid (sudah meninggal), Ulil Basya Abdalla dan Taufik Adnan Amal. Pendokong-pendokong JIL juga telah berjaya menjadi tenaga pengajar di beberapa universiti Islam di Indonesia.

Bersediakah kita?

Setelah membaca buku Pemikiran Islam Liberal yang merupakan himpunan kertas kerja yang pernah dibentangkan oleh Dr. Ugi Suharto, saya bertambah yakin bahawa kita masih kekurangan penghujah yang boleh menjawab persoalan-persoalan yang dilontarkan oleh pengikut neo-muktazilah ini. Cukuplah saya bertanya kepada anda, adakah anda betul-betul memahami apakah itu hermeneutika dan QEK yang diperjuangkan oleh penganut fahaman ini?

Dr. Ugi Suharto yang juga merupakan anak didik Prof. Dr. Syed Naqib al Attas telah menerangkan beberapa isu sentral yang selalunya ditimbulkan oleh penganut pemikiran Islam liberal dengan baik. Saya cukup mengagumi Dr. Ugi yang telah terlibat secara langsung dalam usaha mempertahankan kesucian agama Islam daripada belitan hujah oleh golongan neo-muktazilah. Lihat sahaja hujahnya sewaktu berpolemik menerusi emel dengan orang kuat JIL iaitu Taufik Adnan Amal dalam membahaskan persoalan hermeneutik.

Baiklah, kita tutup dahulu isu pemikiran Islam liberal ini. Saya ingin terus melontarkan persoalan ini kepada anda, bagaimana pula kita mahu menjawab persoalan kapitalisme dan sosialisme dan beberapa isu sentral ekonomi pada hari ini? Saya mengakui yang saya juga tidak mempunyai persiapan dan ilmu yang cukup tetapi sejauh manakah kita memandang serius kesemua persoalan ini? Ataupun, adakah kita sudah karam dalam mengulas dan menjawab isu-isu politik pada hari ini?

Gelanggang telah dibuka

Setelah meneliti dan membaca beberapa pandangan alim ulama, maka secara peribadi saya bersetuju supaya SIS dikenakan tindakan oleh pihak yang berkuasa di Malaysia. Namun begitu, saya menjadi runsing sekiranya tiada tindakan susulan yang kita akan ambil untuk melawan belitan hujah oleh golongan sesat itu.

Pelajarilah kesungguhan alim ulama yang terdahulu dalam memahami krisis liberalisme dan sentiasa memandang serius amalan berpencak di medan intelektualisme ini. Bagi politikus-politikus kampus, jangan hanya menunjukkan perasaan tidak berpuas hati itu dengan bercakap lantang di belakang tetapi cuba tanya kepada diri, adakah kita bersedia menjawab kesemua persoalan yang dilemparkan oleh mereka?

Akhirnya, saya berpendapat bahawa kita sewajibnya memandang serius hal ini. Apatah lagi apabila kita yang mengaku menjunjung tinggi aspirasi perjuangan Islam ini. Jangan hanya bersungguh dengan buku-buku haraki, tetapi cubalah seimbangkan dengan bacaan-bacaan berat yang lain. Secara peribadi, saya juga mewajibkan diri saya untuk menambahkan bahan bacaan haraki, namun dalam masa yang sama saya cuba memahami beberapa krisis dan akar yang menjadikan krisis itu makin parah menerusi bahan-bahan pembacaan yang lain.

Ingatlah, zaman kebangkitan Islam bukannya milik khutaba’ yang bersemangat semata-mata!

Read more...

Sunday, 5 July 2009

Teman, Dirimu Tersilap Memujiku

Egonya aku,
Semua perkara aku tahu
Semua laman aku lalu
Semua orang aku tipu

Aku tipu,
Aku tidak mengapa, ujarku
Aku boleh buat sendiri, bicaraku
Setakat ini aku masih mampu, tambahku
Aku tahu apa yang kamu tidak tahu

Aku mempunyai teman, tetapi hanya sebagai simpanan
Aku tempat diadu masalah bukannya mereka aku adu
Aku menahan pedih sendirian, tidak mahu dirawat kerna malu
Iyalah, aku pemimpin dan mereka dipimpin
Aku di atas, mereka di bawah
Aku panglima, mereka tentera
Takkanlah aku mahu mencabut mahkota, mendengar mereka berkata-kata
Tidak mungkin

Egonya aku,
Kutangisi masalah sendirian
Sesekali, kuadu kepada tuhan
Merenung, masih tidak membuat perkongsian
Kononnya bimbang, izzahku merudum sebagai pimpinan
Alasanku, tidak mahu teman dalam kebimbangan
Lalu kuberjalan sambil menahan sebak, memikul beban yang bertindan

Maafkan aku teman,
Ampunkan diriku wahai abang,
Kuakui dadaku pedih malam dan siang
Tidak terluah, dengan pelbagai alasan
Kekadang terfikir, alangkah indahnya jika aku hanyalah di hujung barisan
Bukannya di depan, apatah lagi sebagai perancang
Ya tuhan, berikan aku kekuatan
Syukur kepadamu, aku masih berteman

Ya tuhan,
Ampunkanlah mereka yang telah melakukan kesilapan
Silapnya mereka memberikan aku pujian
Aku lebih layak menerima cercaan
Kerna aku bukannya insan yang tahan cabaran

Ampunkan aku jua, atas apa yang mereka katakan
Terimalah taubatku, atas dosaku yang mereka tidak berpengetahuan
Jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan
Semoga selamat aku meneruskan pelayaran..

MarBu,
05 Julai 2009/Ahad

Read more...

Saturday, 4 July 2009

Khutaba' dan Fuqaha'

Apabila melihat kepada realiti semasa yang sedang ditayangkan di depan mata kita pada hari ini, sudah pastinya kita merasa pedih dan letih. Kekadang terasa ingin menampar-nampar pipi dengan penuh harapan bahawa realiti ini hanyalah mimpi. Namun, beribu kali kita menampar-nampar pipi sekalipun, katak tetap katak, ia bukan lagi berudu yang kecil. Panorama yang parah tetap parah meskipun meluap-luap kita berperasaan marah.

Makin bertambah ngeri panorama ini, maka makin banyaklah yang terjelupuk jatuh. Sugul. Ketika itu, muncullah para pembakar semangat dengan penuh segak dan tegap. “Jangan gusar, jangan takut! Langit pasti akan kembali terang, bintang-bintang pasti akan kembali berkerlipan.” Mereka berucap dengan penuh kepemudaan.

Ya, saya yakin bahawa kita sangat memerlukan pemidato-pemidato yang bijak meletakkan bahan-bahan api dalam ucapan mereka. Akan tetapi, cukupkah hanya mereka untuk diletakkan sebagai watak utama dalam meleraikan kekusutan sosial dan politik pada hari ini? Mampukah ‘bahan api’ yang keluar dari mulut mereka itu membakar keangkuhan imperialis-imperialis curang dan jalang pada hari ini? Ataupun sekurang-kurangnya untuk merampas kembali hak milik kekal umat Islam iaitu Masjidil Aqsa daripada pendatang Yahudi yang berperangai syaitan? Jawapannya ialah ....................................... (fill in the blank)

Antara khutaba’ dan fuqaha’


Kita sudah memiliki banyak khutaba’/pemidato yang boleh memberi taujihad kepada umat Islam tatkala mereka mengalami konflik motivasi diri. Namun, kita wajib mengesali dan mengakui bahawa kita kekurangan fuqaha’ yang akan menganalisis, mengdiagnosis dan seterusnya akan bertindak sebagai reformis dalam misi mengesat air mata umat. Fuqaha’ yang saya maksudkan bukannya hanya tertumpu kepada mereka yang mendalami bidang fiqh dan usul fiqh semata-mata, akan tetapi fuqaha’ tersebut ialah individu yang berkemahiran dalam bidang masing-masing sama ada dalam bidang keagamaan ataupun lapangan keilmuan yang lain termasuklah politik.

Satu ketika dahulu, kita memiliki banyak tenaga mahir yang mempunyai keyakinan dengan aspirasi perjuangan Islam. Mereka berkhidmat untuk agama. Nama-nama seperti Imam al Ghazali, Ibnu Taimiah, Ibnu Khaldun, al Khawarizmi dan banyak lagi yang dikenali umum telah menabur bakti terhadap agama Islam. Kehadiran mereka saling melengkapi antara satu sama yang lain dan disenangi oleh orang awam yang hidup dengan penuh aman. Ismail Raji’ al Faruqi, tokoh pemikir Islam yang terkenal dewasa ini telah memuji-muji kehebatan Ibnu Taimiah sebagai mujaddid/reformis umat Islam pada zamannya.

Adapun khutaba’, kebanyakan mereka hanya pandai mengulas isu-isu semasa tanpa mendalaminya dengan baik. Mereka boleh bercakap soal daun dan ranting, tetapi tidak mampu berbicara tentang akar yang merupakan induk. Malah, kadang-kadang kelantangan mereka melebihi tahap ilmu yang dimiliki. Semua isu yang kontroversial akan diulas dengan tradisi menghentam, kritikan dekonstruktif dan kemarahan yang meluap-luap tanpa dilap dengan ‘sapu tangan ilmu’. Malah, kedapatan yang sentiasa tergesa-gesa dalam memberikan pendapat tanpa penelitian yang sewajarnya.

Generasi fuqaha’

Sementara fuqaha’ pula kebiasaannya akan sentiasa berfikir dengan teliti terhadap sesuatu perkara. Mereka cukup berdisiplin dan berhati-hati dalam mengulas isu-isu semasa. Golongan ini juga akan mencari akar permasalahan sesuatu perkara supaya lebih mudah diatasi kendati payah untuk mengharungi situasi.

Fuqaha’ dalam bidang bioteknologi akan melaksanakan projeknya dengan mengambil kira kesan terhadap alam dan penghuninya. Fuqaha’ politikus pula akan menjadikan keadilan Islam sebagai puncak misinya dan sentiasa berwaspada dengan muslihat musuh di samping peka terhadap sesuatu isu dan akan menanganinya dengan bijaksana. Dalam bahasa yang lebih mudah, fuqaha’ akan memandang sesuatu perkara dengan berjangka masa panjang, bukan hanya kepentingan jangka masa pendek semata-mata.

Aliran zionisme yang telah mengkucar-kacirkan dunia dengan aspirasi songsang mereka merupakan sebuah produk hasil pemikiran para intelijen Yahudi dari seluruh dunia. Dalam menggerakkan matlamat menguasai dunia, zionisme tidak hanya membincangkan kekuatan tentera, kemantapan peruntukan wang ataupun ramainya jumlah mereka tetapi mereka membina potensi diri yang wujud dalam diri setiap orang Yahudi. Mereka meyakini bahawa hanya generasi fuqaha’ merupakan senjata paling ampuh untuk menawan dunia. Akhirnya hari ini, semua bidang teras seperti ekonomi, politik dan lapangan intelektual yang lain telah dikuasai oleh mereka.

“Zaman kegemilangan Islam, zaman kekuasaan fuqaha’!”

Mari kita menoleh ke belakang seketika. Kita menziarahi zaman keemasan pemerintahan Islam yang telah memimpin umat menangani hegemoni musyrik. Imam Ahmad bin Hanbal, Auza’i, Hasan al Basri, al Ghazali dan Ibnu Taimiah antara contoh pemuka fuqaha’ yang giat menyelamatkan akidah umat. Begitu juga Thawus,Imam Abdul Qadir Jailani, Syamsuddin al Wali dan al Kurani yang sentiasa memberi inspirasi kepada Khalifah yang berkuasa pada zaman mereka.

Sultan Nuruddin Mahmud Zanki, Salahuddin al Ayyubi, Muhammad al Fatih dan Harun ar Rasyid antara fuqaha’ yang telah memimpin umat Islam dan wilayahnya dengan penuh bijaksana.

Apabila kita menganalisis generasi kegemilangan tamadun Islam, kita pasti akan bersetuju bahawa pada waktu itu kolam fuqaha’ tidak pernah dibiarkan kering. Bahkan sentiasa penuh sehinggalah saat-saat kejatuhan menyebabkan kolam itu kian tohor sehinggalah sekarang.

Pelan membina generasi fuqaha’

Sewajarnya kita telah bergerak secara agresif dalam melaksanakan pelan membina generasi fuqaha’ pada era globalisasi ini. Antara bidang fuqaha’ yang kita cukup perlukan ialah ekonomi, politik, ICT, undang-undang dan penghujah dalam perbandingan agama dan falsafah.

Justeru, beberapa rombakan dalam sistem usrah, tamrin, liqa’ fikri, kelas pengajian akademik dan kuliah-kuliah agama mestilah dilakukan. Saya memuji Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) yang telah membuat turning point dan memandang secara serius persoalan ini. Tahniah buat semua pimpinan yang dihormati.

Para pensyarah, mudir, ustaz, guru dan pengkuliah agama mestilah berusaha untuk mengubah pendekatan yang diambil sebelum ini. Gabungan murabbi, muaddib dan catalyst (pemangkin) mestilah wujud dalam diri mereka. Bukan hanya memakan gaji dan hamba kepada sistem yang wujud!

Saya menyokong sahabat saya, Fuad Syazwan yang sedang menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Harith Hasyimi (Universiti Teknologi Petronas) dan Hasbullah (UIAM) dalam bidang ekonomi, Abdul Majid Faiz (UIAM) dalam jurusan kejuruteraan dan Faez Kader dalam bidang perubatan yang kini sedang berada di Mesir. Begitu juga teman-teman yang lain dalam pelbagai bidang. InsyaAllah, saya berjuang di medan saya dan kalian di medan kalian.

Saya akan mengulas lanjut persoalan ini dalam tulisan akan datang, insyaAllah. Saya akan terus berfikir dan mengkritik!

Read more...

Saturday, 27 June 2009

Coretan Melepaskan Rindu

Sudah lama saya tidak menulis dan membuat perkongsian idea menerusi teratak remaja Islam ini. Perasaan rindu cukup mendendami, ‘pedih’ terasa apabila saya tidak dapat berkongsi pandangan bersama para pembaca sekalian. Seolah-olah anak kecil yang menendang perut ibunya sebelum keluar ke alam nyata.

Namun begitu saya bersyukur kerana sepanjang ‘berpuasa’ daripada menulis ini, saya telah berjaya menghabiskan beberapa buku yang sudah tentu menambahkan lagi serba-sedikit pengetahuan yang saya miliki. Antara buku tersebut ialah ‘Kebangkitan Generasi Salahuddin dan Kembalinya al Aqsa ke Pangkuan Islam’ (Dr. Majid Irsan Kaylani), 40 Hadis Penawar Hati (Ustaz Fahmi Zamzam), 50 Kata-kata Tokoh Berpengaruh (Ustaz Dzulkhairi Mohd Noor) dan beberapa buku yang lain.

Sewaktu membuat tulisan ini, Alhamdulillah saya baru beberapa jam menamatkan magnum opus milik as Syahid Syed Qutb rahimahullah yang bertajuk Ma’alim Fit Toriq (Petunjuk Sepanjang jalan). Sebuah karya yang telah menyebabkan gelombang perjuangan Islam bergerak perkasa satu ketika dahulu. Malah, karya ini juga yang telah menyebabkan arus kebangkitan pejuang Islam di Malaysia pada era 70-an dan 80-an mengalir deras apabila Angkatan Belia Islam Malaysia pada waktu itu telah melakukan penterjemahan terhadap buku tersebut. Begitu juga dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang pernah mengajar kitab ini di Masjid Rusila pada era 80-an. Secara peribadi, kitab ini telah membantu menjernihkan lagi fikrah perjuangan Islam yang sedang dibaja dalam diri saya.
Adapun buku Kebangkitan Generasi Salahuddin merupakan satu kajian sejarah yang cukup menarik. Saya mengambil masa hamper sebulan untuk menamatkan buku ini dan diselangi ‘istirahah’ dengan dua buah buku ‘ringan’ berpadanan dengan tema berat yang dibawa oleh Dr Majid Irsan Kaylani. Penelitian sejarah oleh beliau ini cukup mengagumkan dan saya telah menceritakan serba sedikit berkenaan intipatinya menerusi tajuk ‘Bukan One man Show’.

Sementara itu, sekarang saya sedang mentelaah buku karya Dr Ugi Suharto berkenaan isu-isu sentral dalam persoalan pemikiran Islam Liberal. Dr Ugi merupakan salah seorang anak murid tokoh pemikir Islam yang terkenal iaitu Syed Naquib al Attas dan beliau membuat perbandingan berkenaan Islam Liberal di Indonesia dan Malaysia di samping lontaran-lontaran idea yang cukup menarik daripada beliau. Sesekali, saya cuba menganalisis pemikiran Syed Naquib al Attas berkenaan falsafah pendidikan Islam yang telah diulas oleh anak murid kesayangan beliau, Profesor Wan Nor secara tuntas menerusi buku yang bertajuk Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam. Walaupun tema yang dibawa agak berat, namun pengisiannya sungguh menarik.

Saya juga sempat meninjau pemikiran kritikal dan futuristik milik Bediuzzaman Said Nursi dan dua orang tokoh kaum muda era sebelum dan selepas kemerdekaan tanah air kita iaitu Syeikh Tahir Jalaluddin dan Syed Syeikh Hadi. Memang pemikiran mereka melangkah zaman sebagaimana Sir Iqbal iaitu penyair terkenal dari Pakistan. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini saya seolah-olah karam dalam dunia pembacaan dan berfikir. Namun begitu, status sebagai seorang penghafal al Quran dan ahli gerakan Islam mewajibkan saya untuk cemerlang dalam soal pengurusan masa.

Sekadar itu coretan sebagai melepaskan rindu, insyaAllah saya akan datang dengan artikel yang lebih lengkap. Mungkin ini sebagai perkongsian buku buat semua supaya menjadi galakan dan semangat kepada saya sendiri dan juga kepada anda semua. Saya tetap berasa malu kepada Allah kerana masih gagal mendisiplinkan diri untuk menghayati dan mengamalkan setiap ilmu yang dikurniakan. Bertambah malu apabila diberi peluang menambah bahan bacaaan, tetapi masih belum berjaya dari sudut praktikal. Semoga Allah sentiasa merahmati kita. Akhir kata, ayuh kita hidupkan lagi budaya iqra’ ini!

Read more...

Friday, 5 June 2009

Komentar Berhubung 'One Man Show'

Komen ini diberikan oleh sahabat baik saya dari Universiti Teknologi Petronas, Harith Hasyimi. Teruskan perjuangan wahai si jantung hatiku demi memartabatkan ekonomi umat Islam pada masa hadapan. Ana tidak akan melupakan janji kita di bumi waqafan SMKA Tok Jiring satu ketika dahulu untuk tampil membantu mengesat air mata umat satu hari nanti, insyaAllah.
------------------------------------------------------------------------------------

Salam buat sahabatku yang InsyaAllah dicintai Allah dan makhluk di langit dan dibumi,

Berkaitan dengan artikel anta tentang one man show, ana rasakan ianya memang amat releven dan memang sesuai pada masa kini. Satu pendedahan yang bagus mengenai keta’suban sesuatu jemaah untuk mendapatkan sesuatu hasil dalam masa yang singkat tetapi tidak memikirkan natijahnya pada masa hadapan.

Dalam pentarbiyahan Tuhan pencipta alam kepada hambanya sendiri, yakni manusia;

Allah telah melaksanakan suatu pendekatan secara beransur-ansur bagi memastikan kesempurnaan pelaksanaan dan kesan. Apabila diturunkan syariat Al-Quran secara berperingkat, maka setiap satu dari hukumnya dapat diterima dengan baik dan diamalkan dengan teguh oleh setiap makhluk. Sehinggakan keberkesanannya memberi satu momentum kepada syariat yang seterusnya. Momentum demi momentum yang terhasil memberi satu impak positif yang dipanggil kejayaan penghasilan yaitu ketaatan yang sebenarnya kepada Allah.

Merujuk balik kepada tajuk dan isi anta mengenai setiap tokoh mempunyai sumbangannya yang tersendiri untuk memberi kekuatan kepada kejayaan sesuatu perkara. Tokoh dan sumbangan ini boleh dikatakan momentum kepada setiap peringkat yang mampu memberi kesan yang positif kepada peringkat yang seterusnya. Kejayaan yang dicapai pula membawa erti kehampiran kita dalam mendekati dan mentaati perintah Allah. Setiap peringkat ini dilalui satu persatu demi memastikan hasilnya sama seperti kain yang teguh yang dijalin satu persatu. Tanpa meninggalakan atau membuang yang sebelumya.

Sekarang kita pegi kepada perkara yang dilaksanakan pada masa kini yang kita dapat sama-sama lihat, pengejaran dan pemburuan terhadap kepentingan peribadi dan matlamat yang terlalu singkat. Mungkin kerana dosa yang dilakukan sehingga tidak mampu untuk melihat terus kehadapan. Dan hanya berbangga dengan apa yang dapat dicapai dan bukannya apa yang disumbangkan. (Individualism vs Collectivism, Geerd Hofstede Model’s of National Culture). Natijahnya, impak yang diharapakan hanya memberi kesan yang sementara dan tidak tahan lama. Maka perancangan yang teliti dan tidak mementingkan nama sendiri amat diperlukan bagi memastikan kejayaan yang berkekalan dan berpanjangan.

Kebenaran yang tidak berperancangan mampu dikalahkan oleh kebatilan yang berpanjangan.
(Saidina Ali)

Wallahua’lam.
Sekadar meberikan pandangan dan sokongan kepada sahabat seperjuangan.
-------------------------------------------------------------------------------------

Buat semua pembaca blog ini, saya mencadangkan anda supaya memperbanyak lagi bahan bacaan dan disusuli dengan tafkir/berfikir secara kreatif dan kritis. Beruzlah bersama buku itu cukup menarik.

Saya tidak sabar-sabar nak membuat satu pengisytiharan kepada semua pembaca tentang teori huffaz. Generasi al Quran yang unik akan menawan Malaysia dalam waktu terdekat dan insyaAllah bom demografi Quranic akan meletup! Saya terpaksa banyak 'berpuasa' daripada menulis kerana beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan. Banyak lagi idea dan pandangan yang sedang meronta-ronta untuk dikeluarkan laksana anak kecil yang menerajang perut ibunya sewaktu dalam kandungan.

Jumpa lagi. Saya mahu menziarahi muktamar para pencinta Islam di Shah Alam pulak!

Read more...

  © Blogger template The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP